Showing posts with label Afzainizam Ismail. Show all posts
Showing posts with label Afzainizam Ismail. Show all posts

Sunday, December 29, 2013

Afzainizam Ismail

Afzainizam Ismail

Setelah sekian lama mencari, akhirnya jumpa juga gua dengan FB Afzainizam Ismail. Siapa Afzainizam Ismail ni? Bagi generasi muda tentu ramai yang tidak mengenali nama ini. Tapi bagi pencinta muzik rock tempatan seperti gua, nama ini merupakan sebuah nama tersohor yang telah banyak memberi sumbangan terhadap industri muzik rock tempatan. Beliaulah pencipta lagu, penulis lirik dan juga penerbit album. Bersama-sama beliau yang setia menjadi tulang belakang dalam menemani perjalanan seni beliau adalah isteri tersayang, Nor Azimah.



Kedua-dua merekalah yang telah menaikkan nama kumpulan-kumpulan rock terkenal tanahair antaranya Dinamik, Menara dan Evolusi. Album Dinamik , Revolusi Mental (1991) merupakan salah satu album terbitan Afzainizam Ismail yang mana dalam album ini terdapat banyak lagu ciptaan Afzainizam dan lirik ditulis oleh  isteri beliau sendiri. Lagu Antara Gadis ciptaan mereka berdua telah berjaya mempopularkan nama Dinamik sekaligus meletakkan industri muzik rock tempatan ke taraf yang lebih tinggi. Hingga kini lagu Antara Gadis menjadi siulan ramai dan sering berkumandang di radio walau telah 30 tahun berlalu. Tahniah diucapkan.


 
Kumpulan Menara - Antara kumpulan rock yang mendapat sentuhan Afzainizam dan Azimah


Bukan setakat kumpulan rock, Afzainizam Ismail juga telah banyak menerbitkan album dan mencipta lagu untuk artis-artis lain termasuklah DJ Dave dan adik-adik beliau sendiri iaitu Nas Atea dan penyanyi popular Khairool Idlan Ismail. Lagu Aku Yang Kau Panggil Sayang yang mempopularkan Khairool Idlan juga merupakan ciptaan terunggul Afzainizam dan Azimah.



Dari kiri, Afzainizam Ismail, Khairool Idlan (adik) dan Azimah

Afzainizam Ismail suatu ketika dahulu



Khabar duka yang diterima, Azimah kini terlantar di hospital akibat penyakit barah tahap 4. Afzainizam yang  sedang dalam kesedihan dan keletihan tetap setia menjaga isteri tersayang. Sama-sama kita doakan agar Nor Azimah cepat sembuh.



Walaupun tidak sepopular artis, namun jasa mereka dalam memartabatkan industri muzik tanahair amat-amat dihargai. Walau seribu tahun berlalu, nukilan mereka tetap mengharum sepanjang zaman..


Wednesday, February 27, 2013

Kumpulan Dinamik

Mendengar saja lagu Antara Gadis, gua pasti ramai yang kenal akan kumpulan Dinamik, salah sebuah kumpulan rock yang begitu popular di awal 90an dulu. 
Siapa yang tak pernah layan lagu Antara Gadis. Betapa pure pun Mat-Mat metal mesti tangkap lentok punya bila dengar lagu ni. Malah lagu-lagu lain Dinamik seperti Biar Putih Tulang dan Dilema Rindu tetap menjadi siulan ramai dan seringkali diputarkan oleh stesen radio kini biarpun usia lagu-lagu tersebut telahpun melebihi 20 tahun. 
Jom kita susuri serba sedikit perjalanan seni kumpulan Dinamik.



Dinamik dari kiri - Lie, Jeff, Mozri, Norin dan Nan


Kumpulan ini mula ditubuhkan pada tahun 1986 di Pahang. Waktu itu kumpulan ini dikenali dengan nama Eye’s Killer. Anggota asalnya terdiri daripada Talib (vokal), Norin (gitar), Nan (bass) dan Lie (drum).


Minat yang begitu mendalam dalam bidang muzik telah mendorong mereka menimba pengalaman bermain muzik di majlis-majlis kahwin, ekspo dan di mana saja yang menawarkan mereka bermain muzik. Mereka tidak kisah walaupun harga yang dibayar tidak seberapa dan kadang-kadang tidak menerima bayaran langsung. Yang penting pada mereka ialah kepuasan dan kegembiraan dalam bermain muzik.


Pada tahun 1988, mereka mencuba nasib dengan menyertai pertandingan Juara Rock Tenggara 88. Beberapa kumpulan rock lain juga turut bertanding. Hasil usaha keras dan kegigihan mereka, Eye’s Killer telah menjadi juara dalam pertandingan itu.


Ekoran kejayaan itu,mereka ditawarkan untuk merakamkan album bersama beberapa kumpulan rock lain dalam album yang berjudul War Rock 3. Dalam album tersebut, mereka berpeluang menyelitkan beberapa buah lagu hasil ciptaan sendiri.Kumpulan Spring, Mentari dan Cakrawala turut sama merakamkan lagu dalam War Rock 3.
Agak menyedihkan, jualan album itu tidak begitu memuaskan. Namun begitu mereka terus mengorak langkah dan kembali menumpukan perhatian terhadap latihan muzik.


Dalam waktu itu, anggota kumpulan ini sering bertukar ganti. Selepas pengunduran penyanyi asalnya Talib, mereka terus bertukar-tukar penyanyi antaranya Shamsul, Sabai dan Mozri. Sehinggalah mereka bertemu dengan Jeff dan Fauzi yang turut serta memantapkan perjalanan seni mereka. Beberapa konsert di bahagian Pantai Timur telah disertai mereka. Antaranya mengiringi artis Sheeda dan beberapa artis lain. Ini membuatkan mereka semakin dikenali ramai.


Perkenalan dengan penerbit Afzainizam Ismail akhirnya mendatangkan tuah buat mereka. Betapa bersyukurnya mereka kerana cita-cita untuk melahirkan album selama ini tercapai jua. Itulah impian bagi kebanyakan kumpulan muzik pada masa itu. Mereka mula berhijrah ke Kuala Lumpur dan menukar nama kumpulan mereka kepada nama DINAMIK.



Album-album kumpulan Dinamik


Album pertama Dinamik, Revolusi Mental (1991) diterbitkan oleh Afzainizam Ismail di bawah label Pustaka Muzik NSR. Dalam album ini 2 buah lagu dinyanyikan oleh Mozri  iaitu Tahyul dan Rindu-rindu manakala lagu-lagu lain pula dinyanyikan oleh penyanyi bersuara lunak iaitu Nai yang berasal dari Sarawak. 

Lagu Antara Gadis dari album ini menjadi lagu yang paling hot di tanahair ketika itu sehingga berjaya memasuki pertandingan akhir Juara Lagu 1991. Dalam masa 5 bulan sahaja album ini telah terjual sebanyak 400,000 unit lalu menjadikan Dinamik sebagai kumpulan rock yang amat popular waktu itu. Begitu juga dengan jualan album kedua mereka yang mencatat jualan tertinggi.



Dinamik di pertandingan akhir Juara Lagu 1991


Waktu itu Dinamik tidak putus-putus menerima undangan show dari serata tanahair. Sambutan yang diberi oleh pengunjung dan peminat-peminat amat meriah. Begitu juga halnya ketika mereka membuat persembahan di Singapore, Thailand dan kepulauan Riau. Ramai yang datang menyaksikan persembahan Dinamik. 


Surat-surat dan hadiah-hadiah dari peminat tidak terkira banyaknya. Sebanyak 2 guni surat-surat peminat diterima oleh Dinamik setiap bulan termasuk lukisan potret dan cenderamata. Ada juga peminat yang mengajak anggota-anggota kumpulan ini bercinta dan berkahwin. Maklumlah masa tu mereka sedang ‘hot’. Itulah antara kenangan manis yang pernah dilalui oleh kumpulan Dinamik. Kenangan pahit pula salah satunya ditipu oleh pihak penganjur yang tidak membayar duit persembahan. Itu kebiasaan yang terjadi pada artis-artis waktu itu.



Dinamik - Nan, Leman, Nai dan Jeff


“Banyak pengalaman yang pahit dari manis”. Begitu kata salah seorang anggota Dinamik setelah ditemubual.

“…Itu semua tiada gunanya, hanya menguntungkan pihak lain,” keluh seorang lagi anggota Dinamik.

Daripada kata-kata itu dapat disimpulkan bahawa mungkin inilah penyebabnya Dinamik hanya bertahan menghasilkan 2 buah album sahaja. Begitupun, mereka redha terhadap suratan takdir perjalanan seni mereka.


Kini kesemuanya telah memiliki kehidupan sendiri yang jauh lebih baik. Walaupun masing-masing berjauhan, mereka masih lagi berhubung sesama sendiri. Ada antara anggota Dinamik kini yang masih lagi aktif dalam bidang muzik.


Berdirinya Dinamik pada suatu ketika dulu telah menyumbangkan lonjakan kepada industri muzik tempatan dan sehingga kini titipan-titipan mereka masih dihargai dan dinikmati…