Showing posts with label Kumpulan Susila. Show all posts
Showing posts with label Kumpulan Susila. Show all posts

Saturday, July 14, 2012

Susila.. Masih Dalam Ingatan

Susila. Sebuah kumpulan rock yang berasal dari Kuala Lumpur yang agak kurang diberi perhatian pada era kehangatan muzik rock. Namun bagi peminat tegar rock kapak, kumpulan Susila bukan asing lagi dalam lembaran sejarah muzik rock tempatan. Apatah lagi lagu hits mereka Purnama Yang Rebah dan Merpati Keasingan masih mengancam didengar sehingga kini.  

 

Susila, dari kiri Zulmandor (gitar utama), Naz (bass), Boy (vokal), Zul (gitar kedua) dan Farid (drum)


Menggunakan nama asal MEDIA, kumpulan ini bermula pada tahun 1987 ketika semuanya masih bersekolah menengah. Semua mereka bersekolah di Sekolah Menengah Padang Tembak KL, kecuali Farid yang bersekolah di Sekolah Menengah St. John KL

 

Atas sokongan keluarga dan minat yang sama, masa terluang mereka diisi dengan aktiviti jamming di studio-studio sekitar Kuala Lumpur antaranya di Kompleks Wilayah dan Studio Sound Dimension Kampung Baru. Di studio Sound Dimension, mereka bertemu dengan arwah Atok (En.Sham) yang merupakan seorang pemuzik. Arwah Atok lah yang banyak mengajar mereka bermain muzik. Dan melalui arwah Atok juga, mereka diperkenalkan dengan DJ radio Ainul Jamal yang seterusnya membawa kepada rakaman album Susila. 

 

Album Susila-Menjulang Harapan menjalani rakaman di Fantasia Studio

Album pertama Susila, Menjulang Harapan diterbitkan pada 1991 di bawah label syarikat Jackson. FMC pula bertindak sebagai pengedar album Susila. Album ini diterbitkan oleh arwah Atok di mana semua susunan muzik dalam album ini adalah kerjasama antara Susila dengan arwah Atok. Susila ada mencipta beberapa buah lagu dalam album ini tetapi menggunakan nama arwah Atok sebagai Komposer.  M.Nasir juga tidak ketinggalan menyumbang satu lagu dalam album ini. Antara lagu-lagu yang terdapat dalam album ini ialah Sahara Bara Asmara, Dan Engkau Masih Dalam Ingatan, Menjulang Harapan, Jurang, 29 Jamadilakhir 1444, Kekasih Di Bumi Kenyalang, Mengharap Kilauan Cintamu, Susila dan dua lagu hits yang dipertaruhkan iaitu Purnama Yang Rebah dan Merpati Keasingan. 

 

Pada awal penampilan Susila, sambutan yang diterima agak memberansangkan. Dua lagu hits mereka berentap dalam pencalonan Muzik-Muzik TV3 dan menduduki carta top 5 di radio Shah Alam. 

 

Antara pengalaman manis Susila adalah ketika bermain show di Pesta Port Dickson pada 31 Ogos 1991 di mana begitu ramai penonton yang hadir membanjiri tapak pesta itu. Ruhil Amani merupakan antara artis yang berentap bersama Susila ketika itu. 

 


Susila di Pesta Port Dickson 1991

Susila tidak aktif bermain di ekspo-ekspo kerana bimbang risiko ditipu oleh promoter ekspo yang hanya mahu mengaut keuntungan seperti yang telah dialami oleh band-band lain ketika itu. 

Namun begitu mereka diberi kepercayaan untuk menjadi band pengiring kepada artis-artis terkenal tanahair. 

 

Seperti kumpulan rock lain, Susila tidak terlepas dari masalah cetak rompak. Biarpun album mereka belum dipasarkan, namun album cetak rompak telah banyak terjual di pasaran. Hal ini amat dikesali Susila. Mereka tidak menolak kemungkinan bahawa itu semua kerja orang dalam syarikat rakaman. Susila juga tidak pernah diberitahu akan jumlah jualan album mereka. 

 

Setelah menghadapi krisis dengan syarikat rakaman, akhirnya semua anggota Susila membawa haluan masing-masing. Arwah Atok sebagai orang yang banyak berjasa kepada Susila telah pergi buat selama lamanya akibat terjatuh. 


Namun terkuburnya nama Susila tidak bererti terkuburnya cinta dan semangat mereka dalam bidang seni. Malah ada antara mereka yang masih lagi aktif dalam industri. Seperti diketahui umum Boy lebih terkenal sebagai vokalis kumpulan rock Mercury dan kini aktif sebagai pemuzik sambilan. Naz kini bekerja dengan orkestra DBKL dan terlibat dengan banyak aktiviti belakang tabir. Farid pula kini aktif bermain muzik bersama kombo Putrajaya. Agar semuanya berada dalam kesejahteraan. 

 

Sahara Bara Asmara bergema lagi... 

Dan Susila Masih Dalam Ingatan… 

 

tags : Kumpulan Susila , Kumpulan Rock Susila , album Menjulang Harapan , Sound Dimension Studio , Fantasia Studio , Boy Mercury , Pesta Port Dickson 1991, Purnama Yang Rebah , Merpati Keasingan , Muzik-Muzik TV3