Mendengar
saja lagu Antara Gadis, gua pasti ramai yang kenal akan kumpulan Dinamik, salah
sebuah kumpulan rock yang begitu popular di awal 90an dulu.
Siapa yang tak
pernah layan lagu Antara Gadis. Betapa pure pun Mat-Mat metal mesti tangkap
lentok punya bila dengar lagu ni. Malah lagu-lagu lain Dinamik seperti Biar
Putih Tulang dan Dilema Rindu tetap menjadi siulan ramai dan seringkali
diputarkan oleh stesen radio kini biarpun usia lagu-lagu tersebut telahpun
melebihi 20 tahun.
Jom kita susuri serba sedikit perjalanan seni kumpulan
Dinamik.
Dinamik dari kiri - Lie, Jeff, Mozri, Norin dan Nan |
Kumpulan ini
mula ditubuhkan pada tahun 1986 di Pahang. Waktu itu kumpulan ini dikenali
dengan nama Eye’s Killer. Anggota asalnya terdiri daripada Talib (vokal), Norin
(gitar), Nan (bass) dan Lie (drum).
Minat yang
begitu mendalam dalam bidang muzik telah mendorong mereka menimba pengalaman
bermain muzik di majlis-majlis kahwin, ekspo dan di mana saja yang menawarkan
mereka bermain muzik. Mereka tidak kisah walaupun harga yang dibayar tidak
seberapa dan kadang-kadang tidak menerima bayaran langsung. Yang penting pada mereka
ialah kepuasan dan kegembiraan dalam bermain muzik.
Pada tahun
1988, mereka mencuba nasib dengan menyertai pertandingan Juara Rock Tenggara
88. Beberapa kumpulan rock lain juga turut bertanding. Hasil usaha keras dan
kegigihan mereka, Eye’s Killer telah menjadi juara dalam pertandingan itu.
Ekoran
kejayaan itu,mereka ditawarkan untuk merakamkan album bersama beberapa kumpulan
rock lain dalam album yang berjudul War Rock 3. Dalam album tersebut, mereka
berpeluang menyelitkan beberapa buah lagu hasil ciptaan sendiri.Kumpulan
Spring, Mentari dan Cakrawala turut sama merakamkan lagu dalam War Rock 3.
Agak
menyedihkan, jualan album itu tidak begitu memuaskan. Namun begitu mereka terus
mengorak langkah dan kembali menumpukan perhatian terhadap latihan muzik.
Dalam waktu
itu, anggota kumpulan ini sering bertukar ganti. Selepas pengunduran penyanyi
asalnya Talib, mereka terus bertukar-tukar penyanyi antaranya Shamsul, Sabai
dan Mozri. Sehinggalah mereka bertemu dengan Jeff dan Fauzi yang turut serta
memantapkan perjalanan seni mereka. Beberapa konsert di bahagian Pantai Timur
telah disertai mereka. Antaranya mengiringi artis Sheeda dan beberapa artis
lain. Ini membuatkan mereka semakin dikenali ramai.
Perkenalan
dengan penerbit Afzainizam Ismail akhirnya mendatangkan tuah buat mereka.
Betapa bersyukurnya mereka kerana cita-cita untuk melahirkan album selama ini
tercapai jua. Itulah impian bagi kebanyakan kumpulan muzik pada masa itu.
Mereka mula berhijrah ke Kuala Lumpur dan menukar nama kumpulan mereka kepada
nama DINAMIK.
Album-album kumpulan Dinamik |
Album
pertama Dinamik, Revolusi Mental (1991) diterbitkan oleh Afzainizam Ismail di
bawah label Pustaka Muzik NSR. Dalam album ini 2 buah lagu dinyanyikan oleh
Mozri iaitu Tahyul dan Rindu-rindu
manakala lagu-lagu lain pula dinyanyikan oleh penyanyi bersuara lunak iaitu Nai
yang berasal dari Sarawak.
Lagu Antara Gadis dari album ini menjadi lagu yang
paling hot di tanahair ketika itu sehingga berjaya memasuki pertandingan akhir
Juara Lagu 1991. Dalam masa 5 bulan sahaja album ini telah terjual sebanyak
400,000 unit lalu menjadikan Dinamik sebagai kumpulan rock yang amat popular
waktu itu. Begitu juga dengan jualan album kedua mereka yang mencatat jualan
tertinggi.
Dinamik di pertandingan akhir Juara Lagu 1991 |
Waktu itu
Dinamik tidak putus-putus menerima undangan show dari serata tanahair. Sambutan
yang diberi oleh pengunjung dan peminat-peminat amat meriah. Begitu juga halnya
ketika mereka membuat persembahan di Singapore, Thailand dan kepulauan Riau.
Ramai yang datang menyaksikan persembahan Dinamik.
Surat-surat dan hadiah-hadiah
dari peminat tidak terkira banyaknya. Sebanyak 2 guni surat-surat peminat
diterima oleh Dinamik setiap bulan termasuk lukisan potret dan cenderamata. Ada
juga peminat yang mengajak anggota-anggota kumpulan ini bercinta dan berkahwin.
Maklumlah masa tu mereka sedang ‘hot’. Itulah antara kenangan manis yang pernah
dilalui oleh kumpulan Dinamik. Kenangan pahit pula salah satunya ditipu oleh
pihak penganjur yang tidak membayar duit persembahan. Itu kebiasaan yang terjadi
pada artis-artis waktu itu.
Dinamik - Nan, Leman, Nai dan Jeff |
“Banyak
pengalaman yang pahit dari manis”. Begitu kata salah seorang anggota Dinamik
setelah ditemubual.
“…Itu semua
tiada gunanya, hanya menguntungkan pihak lain,” keluh seorang lagi anggota
Dinamik.
Daripada
kata-kata itu dapat disimpulkan bahawa mungkin inilah penyebabnya Dinamik hanya
bertahan menghasilkan 2 buah album sahaja. Begitupun, mereka redha terhadap
suratan takdir perjalanan seni mereka.
Kini
kesemuanya telah memiliki kehidupan sendiri yang jauh lebih baik. Walaupun
masing-masing berjauhan, mereka masih lagi berhubung sesama sendiri. Ada antara
anggota Dinamik kini yang masih lagi aktif dalam bidang muzik.
Berdirinya
Dinamik pada suatu ketika dulu telah menyumbangkan lonjakan kepada industri
muzik tempatan dan sehingga kini titipan-titipan mereka masih dihargai dan
dinikmati…