Showing posts with label Kumpulan Fotograf. Show all posts
Showing posts with label Kumpulan Fotograf. Show all posts

Saturday, June 8, 2013

Kumpulan Fotograf



FOTOGRAF, sebuah nama yang begitu popular dalam industri muzik tanahair bermula era penghujung 80an. Kehadiran mereka 'menggetarkan' lagi irama muzik rock yang ketika itu sedang hangat dan digilai oleh masyarakat tidak kira usia.



Pada awalnya setiap anggota kumpulan ini menganggotai band-band yang berlainan. Bermula dari penyertaan Battle Of The Bands serta sesi ujibakat oleh setiap anggotanya, akhirnya bakat mereka disatukan sebagai sebuah kumpulan yang seterusnya membawa kepada rakaman album. Nama Fotograf diberikan oleh seorang PR yang bernama Dino pada waktu itu. Mereka menjadi artis pertama yang merakamkan lagu Melayu di bawah label Sinar Muzik Production, iaitu sebuah syarikat rakaman milik Cina di Cheras yang mana di bawah syarikat ini turut bernaungnya kumpulan Rajawali dan Damasutra kemudiannya.



Lineup awal Fotograf - Amran, Ringo, Shahrul dan Shamrin



Ketika mula menjejakkan kaki di studio rakaman, kumpulan ini tidak terlepas berhadapan dengan masalah untuk menyesuaikan diri. Namun atas semangat juang yang tinggi beserta dorongan daripada pelbagai pihak akhirnya album pertama Fotograf berjaya dihasilkan.




'Iramanya Menggetar' (1989), merupakan album sulung Fotograf. Di awal kelahiran album ini sambutan yang diterima tidaklah begitu memberansangkan. Tetapi lama kelamaan nama Fotograf menjadi kian popular. Semuanya berpunca dari lagu Jangan Kau Ucap Selamat Tinggal yang seringkali diputarkan oleh stesen-stesen radio dan televisyen sehingga menjadi siulan ramai khasnya golongan muda mudi.



Waktu itu undangan show yang diterima tidak putus-putus. Meskipun masing-masing bekerja, namun di setiap hari cuti masa mereka dihabiskan dengan memenuhi undangan show di ekspo-ekspo dan sebagainya. Boleh dikatakan van yang mereka naiki untuk ke seluruh negara umpama rumah kedua mereka pada setiap Sabtu dan Ahad.





Berikutan sambutan positif yang diterima, maka pada tahun berikutnya terbitlah album kedua kumpulan ini yang berjudul '7:30 Psikosis' (1990). Selepas album ini Amran (pemain bass) menarik diri dari Fotograf lalu menganggotai Damasutra. Tempatnya digantikan oleh Said.



Kemunculan album ketiga membawa tuah bagi kumpulan ini. Album yang berjudul 'Fotograf' terbitan 1992 ini terjual laris di pasaran dengan angka melebihi 50 ribu unit. Lagu Di Alam Fana Cinta dari album ini menjadi antara lagu yang popular di Malaysia waktu itu sekaligus membuatkan nama Fotograf berada di puncak popularitinya.



Lagu ini menjadi juara kategori rock dalam anugerah Muzik Muzik TV3 pada tahun 1992 dan juara dalam Pujaan 10 Nescaffe. Lagu ini juga berjaya menempatkan Fotograf sebagai juara dalam anugerah artis popular Singer. Ini menjadikan Fotograf sebagai artis rock Malaysia pertama yang melakar sejarah memenangi 3 buah anugerah dalam satu masa. Lagu Ke Pintu Kasihmu juga tidak kurang hebatnya sehingga berjaya memasuki pusingan separuh akhir Muzik-Muzik pada tahun yang sama.


Fotograf - Shahrul, Ringo, Shamrin, Almi dan Said


Setiap show dan konsert Fotograf sentiasa mendapat sambutan hangat. Suatu ketika di Sarawak, sambutan yang diberi oleh peminat-peminat di sana sungguh di luar jangkaan umpama sambutan terhadap artis terkenal antarabangsa. Ketampanan wajah anggota-anggota Fotograf membuatkan ramai wanita tidak tentu arah sehingga ada yang pengsan dan histeria apabila tidak dapat bertemu mereka.  Diajak bercinta dan berkahwin itu perkara biasa. Fotograf pernah dibaling baju dalam ketika membuat show dan lebih menakutkan lagi, bilik hotel penginapan mereka hampir diserbu masuk oleh peminat-peminat wanita.



Berikutan kepopularitian Fotograf, maka tidak hairanlah syarikat rakaman menyediakan satu bilik khas untuk menempatkan lambakan surat-surat serta hadiah yang dikirimkan oleh peminat-peminat kepada mereka. Hadiah-hadiah yang diterima Fotograf antaranya berupa T-shirt, kalung, gelang serta jam tangan. Kerana ketiadaan masa, kumpulan ini mengupah pekerja untuk membalas surat-surat peminat dengan poskad yang telahpun sedia ditandatangani mereka.


Kejayaan album ketiga membangkitkan inspirasi Fotograf untuk menghasilkan album-album mereka yang seterusnya iaitu Fantasi (1994), Fokus (1995) dan Juara Mimpi (1997). Ketiadaan Shahrul, Almi dan Said atas sebab krisis dalaman dan sebagainya tidak merencatkan perjalanan Fotograf untuk terus mencipta nama. Pun begitu Almi hadir semula bersama Fotograf dalam album Fokus dan Juara Mimpi. Kali ini terbitan EMI. Lagu yang menjadi hits dalam kedua-dua album ini adalah Luka Seribu Rindu dan Nafas Kekasih.


Album-album Fotograf


Sesungguhnya sesuatu perjalanan seni itu tidak lari dari menempuh cuaca malap dan suram untuk sampai ke penghabisan. Begitulah yang terjadi pada Fotograf. Kelahiran artis-artis baru dalam persada muzik lewat 90an membuatkan nama Fotograf seakan kian tenggelam. Mereka tidak lagi aktif berbanding dahulu.



Tanggal November 2007, industri hiburan dikejutkan dengan penahanan Ringo (pemain drum) yang disyaki terlibat dalam pengedaran dadah di Venezuela. Ringo dipercayai dianiaya oleh seorang warga Malaysia yang memintanya membawa beg berisi kokain seberat lebih 4 kilo. Akibatnya beliau terpaksa menghuni seketika di penjara El-Rodeo 1, Caracas, Venezuela.



Tiga tahun kemudiannya Shamrin pula pergi menyahut panggilan Ilahi. Industri muzik negara bagai kehilangan sebutir permata yang tinggi nilainya. Arwah yang menghidap serangan jantung pergi membawa bersama identiti Fotograf yang tidak mungkin dapat dicari ganti.



Tidak akan ada Fotograf yang baru walaupun anggotanya yang lain masih ada. Ini kerana keunikan vokal arwah Shamrin lah yang menjadi kekuatan Fotograf sehingga mencorakkan imej tersendiri Fotograf semenjak dari awal pembabitan mereka.



Khabarnya Ringo akan kembali semula ke tanahair tidak lama lagi. Beliau kini bergiat aktif dalam bidang lukisan dan muzik di sana. Anggota Fotograf yang lain pula sedang sibuk dengan pekerjaan dan kehidupan masing-masing. Semoga semuanya di dalam rahmat Allah.



Walaupun tiada lagi perjalanan seni Fotograf, namun nama mereka masih lagi diingati, titipan-titipan mereka masih lagi dinikmati dan dihargai..



..dan yang pastinya.. iramanya akan terus menggetar..!!


Sumber : temubual bersama bekas pengurus Fotograf, Abang Big.

Sunday, March 21, 2010

Mereka Yang Telah Pergi.. (Those Who Have Died)

Alfatihah buat mereka yang telah pergi...

Setiap yang bermula akan berakhir. Begitu juga dengan manusia, setiap yang hidup pasti akan kembali kepada pencipta yang Maha Kuasa.
Walaupun jasad mereka telah tiada lagi, namun jasa dan pengorbanan mereka dalam arena muzik tempatan tetap dikenang hingga kini.
Bersama-samalah kita doakan agar roh mereka dicucuri rahmat dan tenang di sana...




Shahrul Nizam Ayop

Merupakan gitaris kumpulan Aryan yang terkenal dengan lagu 'Baiduri Cintaku'. Arwah telah kembali ke Rahmatullah pada 23 November 1998 kerana kanser usus.







g.s ranor utopia
Husni @ G.S (kiri) dan Ranor (kanan)

Ranor Bin Rasip
Arwah Ranor merupakan pemain drum kumpulan Utopia yang terkenal dengan lagu 'Mithali Cintaku'. Arwah telah pergi memancing bersama rakan-rakan dan bot yang dinaiki mereka pecah dan tenggelam dibawa arus. Arwah ditemui lemas dan meninggal dunia pada 3 April 2005 di Bagan Datoh. Jasadnya disemadikan di Kuala Lumpur.
Salah satu sumber menyatakan rakan-rakan arwah selamat dalam insiden itu. Arwah yang pernah menjadi staff RTM telah meninggalkan 4 orang cahaya mata.


Husni @ G.S
Gitaris yang berasal dari Ipoh ini juga adalah anggota kumpulan Utopia dan pernah bertugas di Unit Hiburan RTM. Arwah Husni meninggal dunia akibat kemalangan kereta di Shah Alam pada 26 April 2008 beserta sakit jantung.






j.s kevin
Zul Adnan Mohd Razali

Arwahyarham J.S Kevin atau Zul Adnan Mohd Razali merupakan pencipta lagu dan penulis lirik kumpulan Rock tempatan sekitar tahun 80an hingga 90an.
Arwah meninggal dunia pada 8 Ogos 2003 akibat serangan angin ahmar dan paru-paru berair.
Antara lagu ciptaannya yang pernah popular ialah 'C.I.N.T.A' dan 'Curahan Rasa' nyanyian XPDC.
Sebuah album diterbitkan untuk memperingati perjuangan beliau. Album tersebut adalah 'Tangisan di Gelanggang Fana - A Tribute to J.S Kevin'







lan masa Roslan Karim
Arwahyarham Roslam Karim atau Lan adalah gitaris kumpulan Masa Scarecrow. Arwah dilahirkan pada 1966 dan meninggal dunia pada 1992 kerana terlibat dalam kemalangan.







zul massa
Zulkifli Mat Amin

Arwah Zulkifli Mat Amin atau Zul merupakan vokalis kumpulan Masa Scarecrow yang terkenal dengan lagu 'Patahnya Sayap Malam'.
Arwahyarham mengasah bakat seninya ketika belajar dan menetap di asrama Sek. Men. Alor Akar Kuantan.
Arwahyarham meninggal dunia pada 16 Julai 1996 pada usia 32 tahun akibat koma hampir 2 minggu di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan selepas dibelasah sekumpulan lelaki yang tidak dikenali di tempat letak kereta sebuah hotel di Balok tanpa belas kasihan.
Arwah mengalami kecederaan teruk di muka dan usus akibat insiden itu dan terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan sepanjang menjalani rawatan rapi di hospital berkenaan. Mungkin ramai yang mengetahui punca arwah dibelasah. Sebenarnya arwah Zul telah dianiaya oleh rakannya sendiri. Mungkin kerana iri hati terhadap arwah. Sama-samalah kita sedekahkan Al-fatihah buat mereka yang telah pergi.
Cerita yang lebih detail di sini






eduat syj Syed Noor Eduat

Pasti ramai yang mengenali arwahyarham Eduat. Gua pernah listkan arwah sebagai drummer terunggul tanahair dalam entri-entri yang lepas. Arwah Eduat merupakan anggota SYJ'90 dan anak kepada Syed Yusof Jamalullail, pengasas SYJ. Lahir pada 1961, arwahyarham meninggal dunia pada 11 Oktober 2006 di Hospital Besar Ipoh kerana komplikasi paru-paru.






samad lefthanded
Abdul Samad Mian

Gitaris Lefthanded ini pernah menjadi pemuzik undangan, menjalankan perniagaan sendiri dan menjadi pensyarah sambilan dalam bidang petikan gitar moden di Aswara sejak tidak aktif bersama Lefthanded. Arwahyarham meninggal dunia pada 23 Oktober 2008 selepas terjatuh di pejabat abangnya di Ampang dan juga kerana masalah jantung. Arwah meninggalkan 4 orang cahaya mata yang ketika itu berusia 6-18 tahun. Masih ingatkah anda pada filem Rozana Cinta '87... yeah, arwah pernah menjadi pemuzik undangan dalam filem itu.






along spoon
Sabi'ul Malik Shafiee @ Along Spoon

Arwahyarham terkenal dengan kelunakan suaranya ketika menjadi vokalis kumpulan Spoon. Lagu Rindu Serindu Rindunya adalah antara lagu paling famous Spoon di zaman Rock leleh suatu ketika dulu.
Arwah Along Spoon dibunuh di tempat lain sebelum diikat ke dalam guni dan ditinggalkan di Km 28 Jalan Kuala Klawang- Genting Peras Jelebu. Polis menjumpai rangka mayat Along Spoon pada 6 Januari 2000 berhampiran gaung. Seingat gua, insiden itu berlaku dalam bulan puasa ketika umat sedang sibuk bersedia untuk menyambut hari lebaran dan usia arwah Along ketika itu 19 tahun.
Seorang anggota polis berpangkat L/Koperal, Mohamed Ya'cob Demyati dari cawangan pengawal pengiring IPPKKL telah dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh mahkamah tinggi atas tuduhan membunuh arwahyarham Along Spoon.







yan meditasi Ahmad Sufian @ Yan Meditasi (3 dari kiri)

Arwahyarham merupakan bassist kumpulan meditasi yang terkenal dengan lagu 'Biar Pedih Kasih Memanjang'. Arwah Yan meninggal dunia pada tahun 2006 kerana sakit paru-paru berair.
Arwah pergi meninggalkan 3 orang cahaya mata.
Klik untuk membaca sejarah dan perjalanan seni kumpulan MEDITASI






din cromok Khairuddin Mohamad
Arwahyarham Khairuddin Mohamad atau Din adalah gitaris dan anggota asal band trash metal negara, Cromok. Arwah sama-sama menuntut di University Of Wollongong, Sydney, Australia bersama anggota Cromok yang lain. Arwahyarham pernah berkhidmat sebagai jurutera Petronas di Kemaman. Arwah telah kembali ke Rahmatullah pada tahun 1997 kerana demam malaria.







din beramboi
Meor Ahmad Fuad Meor Badri
Dikenali sebagai Din Beramboi. Pernah menganggotai kumpulan Diplomasi sebagai vokalis yang pernah popular suatu ketika dulu dengan lagu Seloka Cinta dan Mawar Rimba. Din Beramboi juga seorang pelakon, pengacara dan penyampai radio Era. Arwah meninggal dunia pada April 2010 kerana penyakit demam denggi berdarah yang menyebabkan beberapa organ badannya gagal berfungsi.








achik spin Achik Spin
Achik Spin atau nama sebenarnya Abdillah Murad Md. Shari meninggal dunia dalam kemalangan ngeri di KM 14.7, Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS) pada 17 April 2010. Kenderaan MPV yang dinaiki arwah bersama seorang rakan terbabas dan melanggar papan tanda selepas melepasi kawasan Rawat dan Rehat (R&R) dekat susur keluar ke Pajam. Arwah Achik dikatakan tercampak keluar dari kenderaan yang kemudiannya terbakar dan meletup. Achik dan kumpulan Spin merupakan kumpulan Rock Leleh yang terkenal dengan lagu Mengusung Rindu dan Utusan Rindu.








amir junction
Mohd Amin Ahmad
Mohd Amin Ahmad atau dikenali sebagai Amir Junction merupakan bekas pemain gitar kedua bagi kumpulan Junction yang terkenal dengan lagu petualang, akan ku kenang dan demi cinta setia. Arwah yang juga merupakan pengasas kumpulan Junction meninggal dunia setelah mengalami lelah ketika dalam perjalanan ke rumahnya dengan menaiki motosikal pada 23 Oktober 2010. Arwah berusia 43 tahun ketika menghembuskan nafas terakhir dan masih bujang.







Shamrin Abdul Samad

Arwah yang merupakan vokalis kumpulan rock Fotograf jatuh rebah ketika bermain bola sepak di padang bola Kelab Sultan Sulaiman, kawasan Kampung Baru, Kuala Lumpur. Arwah disahkan mengalami sakit jantung. Berita yang lebih terperinci di sini.




.. Mungkin ada beberapa lagi Rockers dan Metalist yang telah kembali ke Rahmatullah yang tidak sempat gua senaraikan antaranya Norrodhi Mohd Daud (Angel Hearts),Masrom Bin Abdul Hamid (keyboardist Sweet Charity), Syed Hassan (bassist Sweet Charity) dan beberapa lagi.

Sebagai umat manusia yang masih hidup, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk sama-sama menghulurkan doa dan sedekahkan Al-fatihah kepada mereka yang telah
tiada.

Al-fatihah...


 Sambungan di Bahagian 2