Wednesday, April 2, 2014

Surat Cinta Buat Awek Gua

 
gambar hiasan


Salam,

Amacam awekku? Lu orait ke? Gua harap lu ok-ok je..

Awekku, gua telah membaca surat lu tempohari.. Apasal lu buat cenggini kat gua? Selama ni cintan gua terhadap lu bukan main.. Lu ingat gua main-main ke? Cintan gua mendalam very deep you know! Very deep purple! Lu tak perasan ke?

Apa yang kurangnya gua ni? Cuba lu cakap! Gua ni tak cukup hensem ke? Atau lu sudah ada balak lain? Lu sound gua beb! Mentang-mentang lu keja opis, lu ada skandal dengan mat despatch kat opis lu tu! Mamat poyo tu lu nak? Apa barang?!! Setakat mat despatch, kalau lu nak tau, gua dulu pun pernah mintak jadi cikgu tapi tak dapat. Bukan pasal gua takde kelayakan tapi tadika kemas jarang amik cikgu lelaki. Lagipun jiwa gua lebih kepada seni.. Tiket konsert gua semua habis jual! Sebab tulah gua jadi tukang jual tiket konsert funfair buat sekian lamanya sampai tauke funfair tu tak offer kat orang lain..

Gua memang betul-betul tak puas hati ni! Lu memang bikin gua panas! Sampai hati lu buat macam ni kat gua setelah apa yang gua dah kasik kat lu.. Lu ingat gua ni apa?!!

Awekku, lu ingat tak dulu sewaktu lu ngan gua first time jumpa? Masa tu hujan.. Lu takde payung.. Lu lari pegi bus stop.. Lu basah kuyup.. Kesian pulak gua tengok lu kesejukan.. Gua bukak jeket gua pastu kasik lu pinjam.. Baek punya gua usya.. Start tulah lu ngan gua sama-sama sudah feeling-feeling.. Gua ingat lagi lagu "Antara Gadis" masa tu kita layan menjadi lagu tema cinta gua kat lu.. Gua selalu nyanyi lagu tu kat talipon public.. Lu tak ingat ke? Ke lu dah lupa?!!

Pehal lu buat cenggini?!! Gua dah tangkap cintan maut kat lu wooo.. Janganlah buat gua macam ni! Kalau lu tak suka cara gua lu cakap! Janganlah kerana besday lu gua hadiahkan t-shirt metallica, lu buat camni pulak kat gua.. Gua tau sapa gua.. Gua memang macam ni, rocker sejati! Lu pun tau sapa gua.. Dulu lu takde pun macam ni.. Lu tak kisah pun! Lu layan selamba je.. Tapi kenapa sekarang lu berubah? Nampak je gua rocker tapi gua pun beriman jugak beb! Sembahyang jumaat tak tinggal wooo!

Lu pikirlah sindri beb! Gua dah curahkan segala-galanya kat lu.. Gua dah sound mak bapak gua nak pinang lu.. Gitar Gibson secondhand gua tu gua dah gadai.. Gua buat modal nak kawin dengan lu.. Cayalah cakap gua, gua tak tipu! Betul wa cakap lu! Gua harap lu pikirlah baik-baik.. Gua dah takde awek lain lagi.. Lu sorang jelah yang gua cinta.. Awek lain gua usya diaorang tak layan wa cakap lu! Gua tak tipu!

Akhir kata dari gua, kenang gua dalam doa makan malammu.. Semoga lu berbahagia..

Yang Benar , 
Rockersejati

Sunday, December 29, 2013

Afzainizam Ismail

Afzainizam Ismail

Setelah sekian lama mencari, akhirnya jumpa juga gua dengan FB Afzainizam Ismail. Siapa Afzainizam Ismail ni? Bagi generasi muda tentu ramai yang tidak mengenali nama ini. Tapi bagi pencinta muzik rock tempatan seperti gua, nama ini merupakan sebuah nama tersohor yang telah banyak memberi sumbangan terhadap industri muzik rock tempatan. Beliaulah pencipta lagu, penulis lirik dan juga penerbit album. Bersama-sama beliau yang setia menjadi tulang belakang dalam menemani perjalanan seni beliau adalah isteri tersayang, Nor Azimah.



Kedua-dua merekalah yang telah menaikkan nama kumpulan-kumpulan rock terkenal tanahair antaranya Dinamik, Menara dan Evolusi. Album Dinamik , Revolusi Mental (1991) merupakan salah satu album terbitan Afzainizam Ismail yang mana dalam album ini terdapat banyak lagu ciptaan Afzainizam dan lirik ditulis oleh  isteri beliau sendiri. Lagu Antara Gadis ciptaan mereka berdua telah berjaya mempopularkan nama Dinamik sekaligus meletakkan industri muzik rock tempatan ke taraf yang lebih tinggi. Hingga kini lagu Antara Gadis menjadi siulan ramai dan sering berkumandang di radio walau telah 30 tahun berlalu. Tahniah diucapkan.


 
Kumpulan Menara - Antara kumpulan rock yang mendapat sentuhan Afzainizam dan Azimah


Bukan setakat kumpulan rock, Afzainizam Ismail juga telah banyak menerbitkan album dan mencipta lagu untuk artis-artis lain termasuklah DJ Dave dan adik-adik beliau sendiri iaitu Nas Atea dan penyanyi popular Khairool Idlan Ismail. Lagu Aku Yang Kau Panggil Sayang yang mempopularkan Khairool Idlan juga merupakan ciptaan terunggul Afzainizam dan Azimah.



Dari kiri, Afzainizam Ismail, Khairool Idlan (adik) dan Azimah

Afzainizam Ismail suatu ketika dahulu



Khabar duka yang diterima, Azimah kini terlantar di hospital akibat penyakit barah tahap 4. Afzainizam yang  sedang dalam kesedihan dan keletihan tetap setia menjaga isteri tersayang. Sama-sama kita doakan agar Nor Azimah cepat sembuh.



Walaupun tidak sepopular artis, namun jasa mereka dalam memartabatkan industri muzik tanahair amat-amat dihargai. Walau seribu tahun berlalu, nukilan mereka tetap mengharum sepanjang zaman..


Sunday, October 6, 2013

Nas Ahmad Dulu Dan Sekarang



Berikut adalah gambar-gambar wartawan Rock terkenal tanahair iaitu Nas Ahmad ketika baru sahaja mengakhiri zaman persekolahannya. 

Pada masa yang sama beliau bermain bass untuk sebuah kumpulan rock di Johor Bahru yang dikenali dengan nama Electric Fingers.

Memang nampak lain macam. Haha.. 
Apapun, dia tetap idola gua !!







Bersama Hassan Babylon (kanan)
Sumber: Facebook Nas Ahmad