Thursday, June 27, 2013

Kumpulan Legenda



Wujud pada sekitar tahun 1987, kumpulan ini mengggunakan nama ILA’Z bersempena nama adik kepada pengurus sebuah studio yang terletak di Bandar Tun Razak Kuala Lumpur. Nama itu kemudiannya ditukar kepada LEGENDA atas kehendak syarikat rakaman.

Anggota-anggota kumpulan ini terdiri daripada Aron (vocal), Black (gitar), Joe (bass) dan Jimmy (dram) yang mana kesemua mereka berasal dari Kuala Lumpur dan amat meminati bidang muzik.  Sebelum menjadi artis rakaman lagi mereka aktif menjalani latihan muzik  bersama antara lokasinya adalah di Taman Mulia, Kuala Lumpur.


LEGENDA dari kiri - Firdaus (Joe), Radzali (Black), Haron (Aron) dan Azmi (Jimmy)


Penyertaan terawal mereka adalah ketika menyertai Battle Of The Bands di Galactica Kotaraya yang mana pada waktu itu banyak band yang bertanding dan mereka berjaya mara ke peringkat semi final.

Bagaimana kisahnya penglibatan kumpulan ini dengan rakaman album?

“Kes bermula pun secara tidak sengaja rasanya dalam tahun 1988. Masa tu Black (gitaris) datang memberitahu ada syarikat rakaman memanggil kami untuk audition. Kami pun pergilah ke Studio Wasiat yang terletak di Kompleks Wilayah tempat di mana berlangsungnya audition tersebut lalu kami pun dipilih. Dari situ bermulalah kisah kami sebagai artis rakaman. Kami menandatangani kontrak bersama Perdana Muzikal Industri (PMI) selama 3+1 tahun dan sempat menghasilkan sebuah album,” cerita Aron selaku vokalis kumpulan Legenda.



Album Kumpulan Legenda


Album Legenda yang juga berjudul ‘Legenda’ diterbitkan pada tahun 1989 oleh penerbit Frankie Ong. Album ini berkonsepkan slow rock dan mengandungi banyak lagu-lagu hits antaranya Kerna Cintaku, Sekadar Seorang Insan, Terbakarnya Taman Cinta dan Hikayat Cinta Kita.

Kemunculan Legenda dalam arus seni mendapat sambutan yang begitu menggalakkan. Persembahan Legenda di mana sahaja menggamit perhatian ramai. Surat-surat dari peminat tidak terhitung banyaknya hinggakan tidak sempat untuk dibalas. Itu antara cebisan kenangan terindah mereka.

Bagaimanapun Legenda tidak sempat mengadakan persembahan di luar negara, hanya di dalam Malaysia.

Seperti kumpulan rock yang lain, Legenda tidak terlepas berhadapan dengan dugaan sepanjang penglibatan mereka sebagai artis rakaman.

“Pernah kami ditipu oleh promoter show. Masa itu kami nak buat konsert di Stadium Indera Mulia Ipoh bersama kumpulan-kumpulan rock lain antaranya kumpulan Masa. Siap promote dalam radio Ipoh lagi masa tu. Last-last konsert tak jadi. Masa tu arwah Zul dan Lan Masa masih ada lagi,”ujar Aron mengingati peristiwa itu.

Di sebalik sinonimnya nama Legenda dengan slow rock, tersingkap ketidakpuasan hati terhadap konsep muzik yang pernah mereka bawakan dahulu.

“Saya sendiri tidak berpuas hati dengan lagu-lagu jiwang dan slowrock yang macam tidak kena dengan imej kami. Lagu-lagu dalam album itu pun bukannya semua pilihan kami. Konsep ditentukan oleh syarikat rakaman. Saya tak dapat apa yang saya nak dalam album itu. Mungkin kerana pembikinan album yang dilakukan dengan kadar yang segera.”

“Apa pun kami bersyukur kerana album itu berjaya dilahirkan. At least pengalaman telah mengajar kita,” ujarnya.


Kumpulan Legenda bersama ex-keyboardist mereka, Ayu


“Kami tidak lama dengan PMI. Selepas itu kami berpindah ke Sony Music pula dan sempat merakamkan beberapa buah lagu untuk album yang bakal diterbitkan oleh Aris Ariwatan. Tapi jodoh kami tak panjang kerana terpaksa berpecah atas sebab-sebab peribadi. Mungkin ada hikmah di sebalik ketentuanNya itu,” ujarnya lagi.

Sehingga kini lagu-lagu Legenda masih lagi kedengaran di corong-corong radio terutamanya di dalam segmen permintaan lagu. Ternyata mereka masih lagi dikenali dan mempunyai peminat-peminat mereka yang tersendiri. Namun tidak inginkah kumpulan ini bersatu semula untuk kembali mewarnai persada muzik tanahair?

“Dulu masa mula-mula menyanyi umur baru 20 tahun. Sekarang ni umur pun dah berganda. Makin lama makin tua. Kadang-kadang ada la juga rasa rindu pada bidang muzik, tapi semua tu dah menjadi kenangan. Allah tidak mahu kami terus terlibat dalam dunia muzik. Syukur lah..”

“Tak dapat saya bayangkan diri saya dulu dengan rambut panjang sampai ke pinggang, dengan seluar ketat, Ya Rabbi.. Kalau direnung-renungkan, apalah yang telah aku buat ni dalam keadaan sebegitu rupa,” luah Aron yang mengakui telah bersara tetap dari dunia hiburan.

Kini beliau merupakan seorang usahawan dan menetap di Kota Damansara. Joe pula menetap di Chemor, Ipoh dan dengarnya kini memegang gelaran Paduka Ayahanda Diraja di dalam Pekida. Black dan Jimmy pula masing-masing masih menetap di Kuala Lumpur.

Sesuai dengan namanya Legenda, riwayat kumpulan ini telahpun menjadi Lagenda yang akan terus diingati oleh peminat-peminat muzik slow rock di seluruh tanahair dan nusantara..

Saturday, June 8, 2013

Kumpulan Fotograf



FOTOGRAF, sebuah nama yang begitu popular dalam industri muzik tanahair bermula era penghujung 80an. Kehadiran mereka 'menggetarkan' lagi irama muzik rock yang ketika itu sedang hangat dan digilai oleh masyarakat tidak kira usia.



Pada awalnya setiap anggota kumpulan ini menganggotai band-band yang berlainan. Bermula dari penyertaan Battle Of The Bands serta sesi ujibakat oleh setiap anggotanya, akhirnya bakat mereka disatukan sebagai sebuah kumpulan yang seterusnya membawa kepada rakaman album. Nama Fotograf diberikan oleh seorang PR yang bernama Dino pada waktu itu. Mereka menjadi artis pertama yang merakamkan lagu Melayu di bawah label Sinar Muzik Production, iaitu sebuah syarikat rakaman milik Cina di Cheras yang mana di bawah syarikat ini turut bernaungnya kumpulan Rajawali dan Damasutra kemudiannya.



Lineup awal Fotograf - Amran, Ringo, Shahrul dan Shamrin



Ketika mula menjejakkan kaki di studio rakaman, kumpulan ini tidak terlepas berhadapan dengan masalah untuk menyesuaikan diri. Namun atas semangat juang yang tinggi beserta dorongan daripada pelbagai pihak akhirnya album pertama Fotograf berjaya dihasilkan.




'Iramanya Menggetar' (1989), merupakan album sulung Fotograf. Di awal kelahiran album ini sambutan yang diterima tidaklah begitu memberansangkan. Tetapi lama kelamaan nama Fotograf menjadi kian popular. Semuanya berpunca dari lagu Jangan Kau Ucap Selamat Tinggal yang seringkali diputarkan oleh stesen-stesen radio dan televisyen sehingga menjadi siulan ramai khasnya golongan muda mudi.



Waktu itu undangan show yang diterima tidak putus-putus. Meskipun masing-masing bekerja, namun di setiap hari cuti masa mereka dihabiskan dengan memenuhi undangan show di ekspo-ekspo dan sebagainya. Boleh dikatakan van yang mereka naiki untuk ke seluruh negara umpama rumah kedua mereka pada setiap Sabtu dan Ahad.





Berikutan sambutan positif yang diterima, maka pada tahun berikutnya terbitlah album kedua kumpulan ini yang berjudul '7:30 Psikosis' (1990). Selepas album ini Amran (pemain bass) menarik diri dari Fotograf lalu menganggotai Damasutra. Tempatnya digantikan oleh Said.



Kemunculan album ketiga membawa tuah bagi kumpulan ini. Album yang berjudul 'Fotograf' terbitan 1992 ini terjual laris di pasaran dengan angka melebihi 50 ribu unit. Lagu Di Alam Fana Cinta dari album ini menjadi antara lagu yang popular di Malaysia waktu itu sekaligus membuatkan nama Fotograf berada di puncak popularitinya.



Lagu ini menjadi juara kategori rock dalam anugerah Muzik Muzik TV3 pada tahun 1992 dan juara dalam Pujaan 10 Nescaffe. Lagu ini juga berjaya menempatkan Fotograf sebagai juara dalam anugerah artis popular Singer. Ini menjadikan Fotograf sebagai artis rock Malaysia pertama yang melakar sejarah memenangi 3 buah anugerah dalam satu masa. Lagu Ke Pintu Kasihmu juga tidak kurang hebatnya sehingga berjaya memasuki pusingan separuh akhir Muzik-Muzik pada tahun yang sama.


Fotograf - Shahrul, Ringo, Shamrin, Almi dan Said


Setiap show dan konsert Fotograf sentiasa mendapat sambutan hangat. Suatu ketika di Sarawak, sambutan yang diberi oleh peminat-peminat di sana sungguh di luar jangkaan umpama sambutan terhadap artis terkenal antarabangsa. Ketampanan wajah anggota-anggota Fotograf membuatkan ramai wanita tidak tentu arah sehingga ada yang pengsan dan histeria apabila tidak dapat bertemu mereka.  Diajak bercinta dan berkahwin itu perkara biasa. Fotograf pernah dibaling baju dalam ketika membuat show dan lebih menakutkan lagi, bilik hotel penginapan mereka hampir diserbu masuk oleh peminat-peminat wanita.



Berikutan kepopularitian Fotograf, maka tidak hairanlah syarikat rakaman menyediakan satu bilik khas untuk menempatkan lambakan surat-surat serta hadiah yang dikirimkan oleh peminat-peminat kepada mereka. Hadiah-hadiah yang diterima Fotograf antaranya berupa T-shirt, kalung, gelang serta jam tangan. Kerana ketiadaan masa, kumpulan ini mengupah pekerja untuk membalas surat-surat peminat dengan poskad yang telahpun sedia ditandatangani mereka.


Kejayaan album ketiga membangkitkan inspirasi Fotograf untuk menghasilkan album-album mereka yang seterusnya iaitu Fantasi (1994), Fokus (1995) dan Juara Mimpi (1997). Ketiadaan Shahrul, Almi dan Said atas sebab krisis dalaman dan sebagainya tidak merencatkan perjalanan Fotograf untuk terus mencipta nama. Pun begitu Almi hadir semula bersama Fotograf dalam album Fokus dan Juara Mimpi. Kali ini terbitan EMI. Lagu yang menjadi hits dalam kedua-dua album ini adalah Luka Seribu Rindu dan Nafas Kekasih.


Album-album Fotograf


Sesungguhnya sesuatu perjalanan seni itu tidak lari dari menempuh cuaca malap dan suram untuk sampai ke penghabisan. Begitulah yang terjadi pada Fotograf. Kelahiran artis-artis baru dalam persada muzik lewat 90an membuatkan nama Fotograf seakan kian tenggelam. Mereka tidak lagi aktif berbanding dahulu.



Tanggal November 2007, industri hiburan dikejutkan dengan penahanan Ringo (pemain drum) yang disyaki terlibat dalam pengedaran dadah di Venezuela. Ringo dipercayai dianiaya oleh seorang warga Malaysia yang memintanya membawa beg berisi kokain seberat lebih 4 kilo. Akibatnya beliau terpaksa menghuni seketika di penjara El-Rodeo 1, Caracas, Venezuela.



Tiga tahun kemudiannya Shamrin pula pergi menyahut panggilan Ilahi. Industri muzik negara bagai kehilangan sebutir permata yang tinggi nilainya. Arwah yang menghidap serangan jantung pergi membawa bersama identiti Fotograf yang tidak mungkin dapat dicari ganti.



Tidak akan ada Fotograf yang baru walaupun anggotanya yang lain masih ada. Ini kerana keunikan vokal arwah Shamrin lah yang menjadi kekuatan Fotograf sehingga mencorakkan imej tersendiri Fotograf semenjak dari awal pembabitan mereka.



Khabarnya Ringo akan kembali semula ke tanahair tidak lama lagi. Beliau kini bergiat aktif dalam bidang lukisan dan muzik di sana. Anggota Fotograf yang lain pula sedang sibuk dengan pekerjaan dan kehidupan masing-masing. Semoga semuanya di dalam rahmat Allah.



Walaupun tiada lagi perjalanan seni Fotograf, namun nama mereka masih lagi diingati, titipan-titipan mereka masih lagi dinikmati dan dihargai..



..dan yang pastinya.. iramanya akan terus menggetar..!!


Sumber : temubual bersama bekas pengurus Fotograf, Abang Big.

Thursday, May 16, 2013

Kumpulan Trimmer



Trimmer. Mungkin ada rockers di luar sana yang tidak pernah mendengar nama kumpulan rock ini. Band ini agak kurang menonjol, mungkin kerana kewujudannya di tengah-tengah saingan rancak kumpulan-kumpulan rock yang ketika itu tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan.


Trimmer - dari kiri Gman, Cher,  Killa, Din dan Azees


Trimmer atau nama asalnya Rentas ditubuhkan pada tahun 1990 di mana kebanyakan anggotanya berasal dari Temerloh, Pahang. Anggota-anggota Trimmer adalah Aziman Yusuf @ Gman (gitar), Mohamad Faishal @ Cher (gitar), Mohamed Razif @ Aziez (bass), Raja Jani RajaYusof @ Kila (drum) dan Borhanudin Suyot @ Din (vokal).


Trimmer membawa maksud ‘Trim’ iaitu imej kemas berambut pendek yang perlu dipatuhi oleh setiap anggotanya demi menyahut saranan kerajaan. Nama ini juga membawa maksud ‘Terima’ dimana setiap anggota Trimmer menerima segala cabaran pada waktu itu untuk berjaya dalam bidang muzik.


Sebelum menjadi artis rakaman, mereka menetap di Johor dan bekerja di tempat yang sama. Ini membuatkan mereka rapat dan kebetulan pula mereka mempunyai minat yang sama dalam bidang muzik. Masa yang terluang atau waktu cuti dipenuhi dengan aktiviti jamming dengan menyewa studio yang berdekatan.


Dalam masa yang sama mereka banyak menyertai ujibakat bersama syarikat-syarikat rakaman. Bakat dan kemampuan mereka telah dinilai oleh komposer M.Nasir lalu seterusnya mereka dipelawa untuk merakamkan album di Singapore di bawah naungan Mastersound Records Sdn Bhd. Di bawah Mastersound Records juga ketika itu bernaungnya artis rock Y dan kumpulan Viva.



Album Trimmer - Noktah Hitam


Dalam menjalani rakaman album, Trimmer tidak terkecuali menghadapi pelbagai dugaan. Kadangkala rakaman untuk satu lagu memakan masa selama berminggu-minggu dan membuatkan mereka hampir putus asa. Tetapi demi muzik mereka gagahkan jua.

Selepas dua tahun album Trimmer berjaya dilancarkan. Album yang berjudul Noktah Hitam itu diterbitkan oleh Rosli Mail dengan berkonsepkan rock dan heavy metal. Sebanyak empat buah lagu ciptaan Trimmer dimuatkan dalam album tersebut. M.Nasir turut menyumbangkan sebuah lagu berjudul Adil Seikhlas Pelukanmu yang mana ianya menjadi lagu hits kumpulan Trimmer. Album ini terjual sehingga 45000 unit.

Kumpulan Trimmer


Biarpun agak kurang promosi pada era rock, tetapi penampilan Trimmer di pentas tidaklah menghampakan. Mereka sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap persembahan di mana saja. Trimmer tidak ketinggalan mengadakan show bersama kumpulan-kumpulan rock popular tanahair seperti May, Lefthanded, Rustyblade dan BPR salah satunya di Singapore.


Sehingga kini Trimmer masih lagi aktif. Biarpun telah kehilangan vokalis asalnya Din yang kembali ke Rahmatullah pada 2012, mereka tetap bersemangat meneruskan perjuangan dalam muzik bersama vokalis baru Trimmer, Aimi. Semoga terus berjaya.


Al-fatihah buat arwah Borhanudin Suyot, vokalis asal Trimmer..